Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Ali bin Hj. Baharum (Oktober 2009 - Jun 2013)

Dilahirkan pada 4 April 1951 di Alor Setar, Kedah, Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Ali bin Hj. Baharum merupakan Presiden ANGKASA yang ketiga bermula Oktober 2009 hingga Jun 2013. Beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang Agama dan Arab di Maktab Mahmud Alor Setar.

Beliau memperoleh B.IS (Hons) dalam bidang Syariah dan Undang-Undang serta Diploma Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1976. Manakala pada tahun 1979, beliau mendapat L.L.M (Master of Law) dari Universiti Malaya.

Beliau telah bertugas selama lebih 20 tahun sebagai Pensyarah Undang-Undang Kontrak di Fakulti Pengajian Islam, UKM sebelum menyambung pengajian pada tahun 1983 di Faculty of Law, University of Essex, England sehingga berjaya memperoleh PhD (Law) pada tahun 1986. Pada tahun 1987, beliau memperoleh Diploma of Translation dari Dewan Bahasa Pustaka dan pada tahun 1990 memperoleh Diploma in Arabic dari African International University, Khartoum, Sudan. Beliau juga memperoleh MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) dari Stamford Colege. Setelah pulang dari dari England, beliau bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, UKM.

Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd Ali telah terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti sosial seperti menjadi Penasihat Syariah bagi institusi-institusi kewangan. Antara institusi tersebut ialah Bank BNP PARIBAS, EXIM Bank Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, The Royal Bank of Scotland, Malaysian Building Society Berhad dan banyak institusi lain. Beliau juga pernah menjadi ahli penasihat syariah bagi APEX Unit Trust, Permodalan Unit Trust Terengganu Berhad dan Opus Asset Management Sdn Bhd. 

Selain menjadi Presiden ANGKASA, beliau juga telah memegang jawatan Naib Pengerusi (1) Koperasi Belia Islam (M) Berhad, Ahli Majlis Maktab Koperasi Malaysia (kini dikenali sebagai Institut Koperasi Malaysia), Ahli Lembaga Pengarah Kanz Holding Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Co-Pakat MARA Berhad dan Jawatankuasa Muafakat MARA. Beliau turut memainkan peranan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara Malaysia dengan Sudan apabila menjadi Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia Sudan (MASOFA).

Beliau telah menerima anugerah "Profesor Adjung" oleh Universiti Utara Malaysia pada Disember 2005.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 April 2016, jam 4:20 pagi di Hospital Kajang akibat pendarahan di kepala.

 


Print