Dato' Hj. Abdul Rahim bin Abu Bakar (Januari 2009 - September 2009)

Jasa dan bakti yang telah disumbangkan oleh Dato' Hj. Abdul Rahim bin Abu Bakar kepada ANGKASA tidak akan dilupakan buat selama-lamanya walaupun hanya memegang jawatan Yang Dipertua ANGKASA dalam tempoh yang singkat.

Bermula dari pelantikan beliau pada Januari 2009 di Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA (PKTA) ke-25 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, beliau tidak lengah menyiapkan diri bagi memikirkan hala tuju ANGKASA.

Memiliki kepimpinan yang tinggi di samping mempunyai sikap yang ramah, tegas dan rendah diri amat disenangi oleh semua pihak sama ada dari Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA, kakitangan malah anggota koperasi ahli ANGKASA sendiri. Selepas pelantikan beliau, perkara pertama yang beliau lakukan adalah turun padang membuat road show berkenalan dengan pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Perhubungan Negeri ANGKASA di seluruh negara.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya, Dato' Hj. Abdul Rahim pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad dan Pengerusi Koperasi Serbaguna Pahang Berhad. Di luar koperasi, beliau telah terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuantan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua Bahagian UMNO Kuantan dan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kuantan.

Beliau telah pulang ke rahmatullah pada tanggal 25 September 2009 bersamaan 6 Syawal 1430 jam 7:10 malam di kediamannya di Ampang, Selangor akibat serangan jantung.

 


Print