YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid (Mei 1971 - Januari 2009)

Lebih mesra dengan panggilan "Pak Ungku", YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid merupakan pengasas dan mantan Yang Dipertua ANGKASA (kini jawatan disebut sebagai Presiden) bermula 12 Mei 1971 sehingga 7 Januari 2009.

Dilahirkan pada 28 Januari 1922 di Hampstead, United Kingdom, Pak Ungku merupakan negarawan yang amat disegani dan telah menyumbang jasa dan bakti dalam bidang pendidikan dan ekonomi terutamanya dalam memperkasa ekonomi institusi agama Islam.  

Beliau merupakan tokoh yang mengasaskan ANGKASA menerusi Kongres Kerjasama Se-Malaysia pada tahun 1966 dan Kongres Kerjasama Se-Malaysia Kedua pada 1971. Beliau juga mencetuskan idea menubuhkan koperasi sekolah pada tahun 1968 untuk membudayakan aktiviti keusahawanan dalam kalangan generasi muda sehingga koperasi sekolah menjadi model perniagaan yang menjadi rujukan gerakan koperasi antarabangsa.

Pak Ungku telah memainkan peranan yang amat besar memperkasa ANGKASA sehingga diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan apeks gerakan koperasi negara untuk menyatu dan mewakili gerakan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa pada 23 Mei 1996. Di peringkat antarabangsa, beliau telah dipilih untuk menjadi Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap ICA Rantau Asia Pasifik dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia ICA.

Di luar koperasi, Pak Ungku telah memegang jawatan Ahli Kumpulan Wang Amanah Negara; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia; Ahli Majlis Jemaah Bistari Johor Berhad; Naib Pengerusi Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia Foundation,; Fellow Kehormat Institut Sosial Malaysia, di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat; Ahli Majlis Tadbir urus Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa, Bank Negara Malaysia dan Timbalan Pengerusi di International Association of Traffic and Safety Sciences (Peringkat Malaysia). Di peringkat korporat, beliau telah memegang jawatan Pengarah di beberapa buah syarikat seperti PLUS Berhad, Teikyo (Malaysia) Sdn. Bhd., Goaz Technologies Sdn. Bhd dan PLUS Expressways Berhad. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi di syarikat Azair Sdn. Bhd. dan Cosmopoint Sdn. Bhd.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera Dalam Bidang Ekonomi dari Universiti Malaya (Singapura) dan Doktor Ekonomi (Waseda University, Tokyo, Jepun). Pada 9 November 2006, Kursi Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz telah diwujudkan di Universiti Malaya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam usaha pembasmian kemiskinan di Malaysia. Antara anugerah-anugerah lain yang telah diperolehi oleh Pak Ungku ialah Tokoh Maal Hijrah, Wira Koperasi, Melayu Terbilang, Tokoh Koperasi Negara, Tokoh Ekonomi Melayu, Tuanku Syed Putra, Akademik Negara 2006, Tokoh Zaaba, Rochdale Pioneers Award dan Anugerah Merdeka.

Pak Ungku menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 Disember 2020 jam 4:30 petang, akibat sakit tua. Jasa dan bakti beliau kepada pembangunan koperasi negara dan dunia akademik serta pemerkasaan sosioekonomi tidak ternilai harganya.

Antara bait kata ringkas tapi penuh makna daripada beliau yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan tauladan;

“Rajin bekerja, rajin bercakap” – Bagus

“Rajin bekerja, malas bercakap” – Kena buli

“Malas bekerja, rajin bercakap” – Wayang cina

“Malas bekerja, malas bercakap” – Tak guna

“Malas bekerja, suka mengadu” – Lalat hijau

“Malas bekerja, suka ponteng” – Lebih baik berhenti

“Malas bekerja, suka termenung” – Lebih baik mati

 


Print