ANGKASA & UKM METERAI PERJANJIAN TANAM SEJUTA POKOK

Usaha pemuliharaan hutan merupakan keperluan yang kritikal memandangkan ianya khazanah yang penting terhadap pelbagai jenis hidupan dan sumber yang tidak ternilai harganya. Menyedari kepentingan bagi memulihara hutan dan alam sekitar, ANGKASA dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penganjuran dan pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) COOPCARE Koperasi Prihatin Sejuta Pokok pada 16 Mac 2021 di Wisma Ungku. Aziz, Kelana Jaya.

Kedua belah pihak memeterai memorandum perjanjian untuk tujuan tersebut, di mana ANGKASA diwakili oleh Presiden ANGKASA, Dato' Abdul Fattah Abdullah dan UKM oleh Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) UKM, Prof. Dato' Dr. Norman Mohd Saleh.

Program Koperasi Prihatin Sejuta Pokok bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang peri pentingnya usaha pemuliharaan hutan menerusi 14, 668 buah koperasi dengan keanggotaan 6.1 juta individu untuk merealisasikan matlamat ini. Program ini juga adalah inisiatif berimpak tinggi ANGKASA yang turut memfokuskan kepada penanaman semula pokok sama ada di kawasan hutan, rizab hutan, kawasan awam, institusi dan sebagainya. Ia adalah salah satu cara untuk menangani masalah pelepasan karbon yang meningkat setiap tahun, serta bagi menyokong agenda nasional untuk menanam 100 juta pokok menjelang tahun 2025 yang juga sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia.

Kolaborasi strategik antara ANGKASA dengan UKM akan menghasilkan modul pembelajaran dan pengjaran serta program kesedaran berbentuk "Train of Trainers" (ToT)  yang akan dilaksanakan kepada koperasi sekolah, koperasi siswa dan koperasi di kawasan komuniti di seluruh Malaysia bagi memberi pendidikan asas merangkumi maklumat asas berkaitan jenis dan fisiologi pokok, konsep tanaman, penjagaan pokok dan penghasilan baja kompos, garis panduan pengukuran tumbesaran pokok dan penyelenggaraan tanaman pokok.

Menerusi kolaborasi ini, ANGKASA dengan kerjasama UKM dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor akan membantu memulihara hutan terosot menerusi penanaman pokok hutan di kawasan plot seluas 20 ekar hutan simpan Negeri Selangor yang akan dijadikan sebagai "Hutan Angkat Koperasi".

Program COOPCARE Koperasi Prihatin Sejuta Pokok adalah komitmen ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk meneraju dan melaksana inistiaf Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 mewakili gerakan koperasi di Malaysia bagi membantu menangani perubahan iklim dan meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi serta menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau dan lestari.


Print